Blogger Layouts

Rabu, 24 Oktober 2012

Posisi Jerawat Petunjuk Kepada Kesihatan Seseorang



 

Oh..Tidak! Jerawat. Kebanyakan orang pernah naik jerawat di muka tidak kira besar atau kecil. Kalau tengok cermin mesti tidak sah kalau anda tidak belek-belek muka, nampak jerawat mulalah rasa sakit hati dan geram kan? Itu perkara biasa.

Ada setengah orang cakap jerawat ini menyusahkan dan memalukan bila sudah naik banyak-banyak di muka. Sampai ada yang sanggup tidak mahu keluar rumah bila muka berjerawat. Betul ke? Tapi jerawat tak boleh dibiarkan sebabkan kesannya sangat teruk.Tapi tahukah anda posisi jerawat boleh memberi petunjuk ataupun isyarat tentang kesihatan kita walaupun bukanlah secara menyeluruh? Menarik bukan? Jom teruskan membaca info dibawah.

Jerawat kat DAHI

Haba badan yang melampau serta peredaran darah yang tidak baik menjadi punca kepada naiknya jerawat kat dahi kita. Orang yang ada jerawat kat dahinya selalunya memiliki sifat panas baran.
Untuk menghindari, dinasihatkan supaya menjadikan amalan untuk tidur awal serta bangun awal. Selain itu pastikan dapat tidur yang cukup dan minum air banyak.

Jerawat kat HIDUNG

Kalau jerawat di batang hidung, ianya bermaksud tulang belakang kita mungkin bermasalah. Jika ianya di hujung hidung mungkin disebabkan haba perut melampau dan sistem penghadaman yang tidak normal.
Dan jika di salah satu hujung hidung pula boleh dikaitkan dengan ovari atau sistem reproduksi yang mempunyai masalah.

Jerawat kat DAGU

Kalau jerawat tumbuh di dagu pula, berkemungkinan fungsi buah pinggang telah terjejas atau sistem endokrin (rembesan dalaman) lemah. Untuk kaum wanita yang mudah mendapat jerawat di sekitar dagu mungkin berpunca daripada haid yang tidak teratur dan sistem peranakan yang bermasalah.

Jerawat kat PIPI

Jika jerawat tumbuh di pipi kiri, fungsi hati mungkin kurang lancar seperti dilanda masalah rembesan, menyahtoksin dan penghasilan darah. Jika di sebelah pipi kanan, fungsi paru-paru berkemungkinan tidak normal.

Jerawat kat BADAN (Belakang dan Depan)

Bagi jerawat yang tumbuh di belakang atau depan badan ianya memberi petanda kemungkinan sistem perkumuhan bermasalah, seperti terkena sembelit. Dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan yang sihat bagi memastikan toksin tersingkir dengan lebih baik.
Nampaknya ada yang terus menghadap ke cermin untuk melihat posisi jerawat anda. Walaubagaiman pun artikel yang dikongsikan ini adalah sekadar rujukan sahaja. Untuk mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai tahap kesihatan, anda perlulah mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.

P/S: Tips untuk kulit sihat

Anda dinasihatkan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong sehari. Ini akan membantu anda utk menyeimbangkan suhu badan dan membebaskan toksik yang tidak dikehendaki daripada tubuh badan kita. Ia juga membantu pelawasan,dan cuci lah muka sekurang-kurangnya 3 kali sehari.Pengunaan kosmetik yang tidak sesuai juga salah satu faktor terjadinya punca jerawat,so pilih lh kosmetik yang benar2 sesuai dengan kulit muka kita.....



Isnin, 22 Oktober 2012

persoalan makanan halal,haram tidak boleh di ambil mudah


HALAL membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan ummah.
Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)Ibn kathir dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan, perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat serta elok dari segi tabiat dan syarak. Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian.
Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan halal di sisi syarak adalah makanan bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudaratan, sebaliknya makanan haram sekalipun lazat tetap keji di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu, seorang Islam sama ada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan serta hendaklah dijauhi unsur haram seperti judi, riba atau rasuah.
Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan halal dan bersih kerana makanan haram yang dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan mendalam terhadap tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan doa kepada Allah SWT.
Panduan pemakanan dalam Islam adalah berlandaskan konsep memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran dibenarkan oleh syarak.
Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Manakala yang haram dan memudaratkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)
Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menyatakan, sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara itu mempunyai bahaya dan kemudaratannya.
Ulama terkenal, Abdullah Sahl al-Tusturi berkata, sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan pemakanan halal mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana hamba, dagingnya itu tumbuh dari perkara yang haram dan amalan riba, api nerakalah yang patut (untuk membakar dan menghilangkan) daging itu.” (Hadis riwayat Ibn Marduiah)
Dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti sebaiknya. Perkara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari.
Kita juga dituntut menjauhi barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya. Kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan halal dan kebaikannya kerana makanan dan minuman syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan haram secara tidak disangka-sangka.
Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna seperti memalsukan logo halal atau menggunakan logo halal pada produk haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh.
Mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhianati masyarakat Islam dan melakukan amalan syaitan yang menyesatkan. Akta Perihal Dagangan 2011 diharap dapat membantu mengatasi masalah ini dan semua pihak perlu mematuhi akta yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)




Selasa, 16 Oktober 2012

Ancaman IFC (Interfaith Commision) @ Suruhanjaya Antara Agama Dan PLURALISME : Kita Mudah Lupa....


Ancaman IFC dan Pluralisme: Kita mudah lupa...
Oleh Zaini Hassan
Sumber 
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

TIADA mana-mana makhluk hatta haiwan sekali pun akan duduk diam jika hak dan wilayahnya diganggu-gugat.
China sedang bengang dengan Jepun kerana negara matahari terbit itu menganggap sebuah pulau kecil, bernama Senkaku sebagai wilayahnya. China menamakan pulau itu sebagai Diaoyu.

Filipina juga menyebabkan China dan negara-negara lain termasuk Malaysia mengerut kening kerana menghantar 800 askar tambahan ke Pulau Pagasa dalam gugusan Kepulauan Spratly. Gugusan itu dituntut oleh beberapa negara di sekitar Laut China Selatan.

Kucing rumah saya akan meremang bulunya dengan sergahan marah jika kucing lain masuk ke rumah saya.
Bagi binatang, garis teritorialnya ialah berdasarkan air kencing dan najisnya.
Begitu juga umat Islam jika agamanya dihina maka satu ummah dunia boleh bangkit.

Jadi tiada salah jika kita ingat mengingati supaya jangan ada pihak yang membawa isu-isu yang boleh mengganggu-gugat hak orang lain.
Tidak salah jika saya ingatkan umat Islam negara ini mengenai tuntutan-tuntutan cadangan penubuhan IFC atau Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) yang pernah dibangkitkan tidak lama dulu, tapi ditolak oleh kerajaan ini.

Oleh kerana kita ini mudah lupa, niat saya ialah sekadar mengingatkan kembali kerana tidak mustahil tuntutan-tuntutan itu akan menjadi realiti dan kenyataan jika kerajaan BN di bawah naungan UMNO ini jatuh dalam PRU-13 ini.

Dengan niat ikhlas untuk ingat-mengingati sesama kita, bacalah mengenai IFC, pluralisme dan tuntutan-tuntutan itu.

Gerakan Pluralisme Agama di Malaysia tidak dapat dilihat dengan jelas atau secara rasmi berbanding di Indonesia.

Di Indonesia, pada tanggal 28 Julai 2005, Majlis Ugama Islam Indonesia (MUI) menerbitkan fatwa yang melarang pluralisme. Dalam fatwa tersebut, pluralisme agama didefinisikan sebagai:

Suatu fahaman yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh menuntut bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah. Pluralisme juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup dan berdampingan di syurga".
MUI dengan jelas menyatakan bahawa pluralisme dalam konteks agama bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia ialah idea pluralisme agama ini berkembang melalui pendekatan secara tidak langsung. Ia boleh dilihat dalam beberapa isu yang mula timbul. Analoginya pada tahun 2001, timbulnya satu cadangan untuk menubuhkan IFC. IFC ini merupakan satu Suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya sebagai badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesuatu agama akibat desakan agama lain.

Suruhanjaya ini boleh berfungsi sebagai sebuah mahkamah atau satu badan berkanun seakan-akan satu badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menerima dan melayan aduan-aduan khususnya yang berkaitan dengan agama.

Penubuhan IFC ini dicadangkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) melalui memorandum mereka yang dihantar oleh Presiden MCCBCHS kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.


TERDAPAT 14 TUNTUTAN IFC:

1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam.

2. Orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggarakan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

9. Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bible dalam bahasa Malaysia dan Indonesia sepatutnya dibenarkan kepada umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13. Orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.


APA IMPLIKASI ANCAMAN IFC TERHADAP ISLAM?

1. Membuka ruang seluas-luasnya kepada orang bukan Islam mencampuri Hal Ehwal Agama Islam.

2. Menjadikan undang-undang Allah perlu tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta manusia yang jelas menjejaskan akidah.

3. Orang Islam bebas melakukan apa saja tanpa batasan.

4. Orang Islam bebas untuk murtad.

5. IFC berhak untuk menentukan status agama seseorang.


Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kita haruslah menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC.

Tiada satu pun agama di dunia ini yang sanggup menerima campur tangan oleh mereka yang bukan penganutnya.

Penubuhan IFC pastinya akan menimbulkan ketegangan antara agama yang bakal mengugat keselamatan negara.

Oleh kerana saya rakyat Malaysia dan beragama Islam, saya berhak mengingat-ingatkan semula ancaman ini kepada semua.

Orang tua-tua dulu pernah berpesan: Jangan bermain dengan api...